Jumat, 29 Agustus 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 3 )



BUNYI muzik di Kelab Malam Blues membangkitkan semangat Syed Aryan untuk mengikut rentak irama yang begitu rancak. Liuk lentok tubuh Sharifah Akyra di sebelahnya yang mabuk di biarkan sahaja.
Sharifah Akyra menyuakan segelas wain kepada Syed Aryan namun dengan pantas Syed Aryan menolak. Walaupun dia suka mengunjungi kelab malam dan berpeleseran di kelab- kelab malam, namun Syed Aryan masih menitikberatkan soal kesihatan. Minum arak akan membuatkan kesihatannya terjejas.
Syed Aryan memandang Sharifah Akyra yang terhuyung hayang cuba mengimbangkan badan. Dia ketawa kecil melihat telatah kekasih hatinya yang mabuk itu.
Darling, minumlah sikit.” Ajak Sharifah Akyra sambil menyuakan gelas yang berisi wain ke mulut Syed Aryan.
“Kyra, I tak nak. You fahamkan prinsip I. I takkan minum benda alah ni. Sedangkan rokok I tak hisap takkan I nak teguk air ni pula.” Ujar Syed Aryan tegas.
“Alah you ni, kita sekarang kat New York tiada siapa yang nak tahan kita. Kita bebas!” jerit Sharifah Akyra sambil ketawa lepas.
Syed Aryan menggelengkan kepala. Lalu, dia menarik tangan Sharifah Akyra yang terlebih mabuk itu. Lengan wanita itu diheret sampai ke kereta. Sharifah Akyra ni kalau dibiarkan begitu pasti melarat hingga tak ingat dunia.
“You ni dah terlebih mabuk ni, Kyra. Jom I hantar you balik.” Syed Aryan menolak Sharifah Akyra ke dalam perut kereta.
“I tak mabuklah sayang. Pandai- pandai je you ni..hukk!” Sharifah Akyra tersedu.
Syed Aryan tidak mengendahkan Sharifah Akyra lantas dia menghidupkan enjin kereta dan membelah kepekatan malam di kota New York.
Tiba- tiba, keretanya terhenti di satu tempat yang asing bagi Syed Aryan. Dia tidak pernah melalui tempat ini sepanjang dia tinggal di New York. Tempat itu terang dengan cahaya yang bersinar menerangi kegelapan malam. Syed Aryan menelan air liur. Dia memandang ke arah Sharifah Akyra yang sudah terlena di tempat duduknya.
“Aku dekat mana ni?” Tanya Syed Aryan sendirian.
Perlahan- lahan, Syed Aryan keluar daripada kereta dan meninjau tempat yang tidak pernah dia kunjungi itu. Syed Aryan meneruskan perjalanannya tanpa arah namun langkahnya terhenti apabila dia terlihat sebuah bangunan yang tersergam indah terpapar di hadapannya.
“Masjid?” Syed Aryan dilanda tanda tanya.
Lantas, dia mengorak langkah lagi apabila dia terdengar gemersik suara perempuan mengalunkan ayat- ayat suci al- Quran. Suara itu sungguh lembut dan halus hingga membuatkan jiwa Syed Aryan dilanda resah.
Syed Aryan meneruskan langkah. Dia terhenti di hadapan pintu masjid yang terukir cantik. Matanya melilau melihat ke dalam kawasan masjid yang diterangi dengan cahaya lampu. Dahi Syed Aryan berlapis apabila dia melihat seorang wanita bertelekung putih sedang menunduk membaca al- Quran dengan khusyuknya. Siapa dia ni?
Syed Aryan ingin menyapa namun lidahnya kelu. Tiba- tiba telinganya menangkap bunyi sesuatu dari arah depan masjid itu. Syed Aryan mengalihkan pandangan. Serentak dia menghayunkan langkah menuju ke bahagian hadapan masjid itu.
Alangkah terkejutnya Syed Aryan apabila mendapati dirinya sendiri berada di situ sambil berjabat tangan dengan seseorang yang memakai kopiah berwarna putih. Wajah Syed Aryan mula dibasahi peluh. Kenapa aku boleh berada di situ? Hati Syed Aryan tertanya- tanya.
“Aku terima nikahnya……”
Tiba- tiba telinga Syed Aryan berdesing. Dia tidak dapat mendengar kata- kata seterusnya yang disebut oleh lelaki yang seiras dengannya. Dia memejamkan mata dan membukanya kembali. Namun saat matanya terbuka, semua wajah- wajah yang berada di hadapannya tadi hilang daripada pandangan mata. Jantung Syed Aryan bergetar hebat. Apa yang dah terjadi?
Tetapi apa yang tertinggal adalah suara perempuan itu yang masih mengalunkan ayat- ayat Allah. Syed Aryan menggelengkan kepala sambil menutup telinga. Dia tidak dapat menerima ayat- ayat itu. Tidak! Jerit hati Syed Aryan.
Semakin dia menutup telinga semakin kuat suara itu berkumandang. Akhirnya Syed Aryan membukakan matanya dengan luas. Dia memandang ke kiri dan kanan. Jantungnya masih berdegup pantas.
“Aku dekat mana ni?” Tanyanya sendiri.
Aik, ni macam apartment aku je. Mana perginya masjid tu? Siapa perempuan? Buat apa aku berjabat tangan dengan ustaz itu?’ pelbagai persoalan muncul di benak Syed Aryan. Setelah agak lama dia berteleku baharulah dia sedar yang dia bermimpi sebentar tadi. Syed Aryan menarik nafas lega.
“Nasib baik mimpi je…” Syed Aryan tersenyum sendirian. Tanpa membuang masa dia kembali meletakkan kepala di atas bantal dan zzzzz…

MUZAMIL tersenyum memandang Tan Sri Syed Umar yang sedang bercakap- cakap dengan beberapa orang penduduk Kampung Sentosa. Sejak daripada semalam dia berusaha untuk menjejaki Soleha tapi semuanya gagal mungkin hari ini usaha meraka akan membuahkan hasil.
Tan Sri Syed Umar menghampiri Muzamil yang sedang bersandar di kereta Mercedes milik mereka. Satu senyuman dilemparkan.
“Macam mana ayah? Ada apa- apa berita?” Soal Muzamil.
“Alhamdulillah, akhirnya ada jugak yang tahu Soleha ada di mana. Sekarang dia tinggal di Kampung Cherok Paloh. Cuma alamatnya ayah tak dapat.” Terang Tan Sri Syed Umar.
Muzamil mengangguk. Dia terdiam sejenak.
“Kita nak pergi sekarang ke, ayah?” Tanya Muzamil lagi.
“Apa pendapat kamu pulak? Ayah tak kisah nak pergi bila cuma ayah dah tak sabar nak berjumpa dengan Soleha. Hampir 30 tahun ayah tak berjumpa dengan dia. Apa khabar dia sekarang? Berapa anak dia sekarang ni?” Tan Sri Syed Umar berfikir sendirian.
Sungguh dia amat merindui bekas kekasihnya itu. Hampir 30 tahun tidak bertemu pasti pelbagai cerita yang boleh dikongsi bersama. Tetapi apa yang mengecewakan Tan Sri Syed adalah Soleha telah berkahwin lain selepas kematian suaminya yang pertama. Disebabkan itu Soleha berpindah ke Cherok Paloh. Memang mereka tidak berjodoh. Fikir Tan Sri Syed Umar. Namun, janji mereka dahulu pasti dia akan tunaikan andaikan anak Soleha adalah perempuan.
“Mil rasa kita gerak hari ini teruslah ayah. Memandangkan masih pagi lagi ni. Kalau cepat selesaikan hal ini cepatlah kita boleh jumpa dengan Mak Cik Soleha.” Balas Muzamil mengejutkan Tan Sri Syed Umar daripada khayalannya.
“Ayah pun rasa macam itu jugak. Jomlah.” Ajak Tan Sri Syed Umar.
Muzamil mengangguk lantas melompat masuk ke dalam kereta dan menuju ke destinasi yang di rancangkan.