Sabtu, 14 Juni 2014

Rebah Di Tirai Cinta (Bab 21)


SELESAI saja mandi, Syahid terus mendapatkan ibunya yang masih berada di ruang tamu. Dia tersenyum pada Mak Cik Sarimah yang kelihatan sedang  memicit dahinya sendiri.
“Ibu nak Syah picitkan kepala ibu ke?” soal Syahid dengan lembut. Dia melabuhkan punggung di sisi Mak Cik Sarimah.
“Tak payahlah, Syah. Kamu tentu penat kan? Mana Laila?” soal Mak Cik Sarimah perlahan.
“Ada dalam bilik, ibu.”
“Kamu pergi temankan dia. Kesian dia tak biasa dengan rumah kita ni. Tentu dia tak selesa.”
“Biarkan dia, ibu. Tak penting pun pada Syah. Sekarang ni, ibu lebih penting daripada segala-galanya…” balas Syahid sambil jari-jemarinya lincah memicit dahi Mak Cik Sarimah walaupun sudah puas dihalang oleh ibunya itu.
“Ish, tak baik cakap macam tu. Laila tu isteri kamu. Kamu patut layan dia dengan baik walaupun kamu dengan dia ada masalah. Ingat, nabi tak suka kalau suami yang layan isterinya dengan buruk. Walaupun perangai dia tak menyenangkan kamu, itu sudah menjadi tanggungjawab kamu untuk membimbing dia,” nasihat Mak Cik Sarimah.
Syahid mengeluh berat. Membimbing Laila? Sungguh, dia rasakan sudah terlalu penat untuk membawa Laila kembali ke pangkal jalan. Jelas, Syahid sudah berputus asa. Dia sendiri tidak tahu sampai bila ikatan ini dapat bertahan.
“Kalau isteri yang layan suami dengan teruk macam mana pulak, ibu?” soal Syahid.
Mak Cik Sarimah tersenyum nipis.
“Tentu ada sebabnya kenapa seorang isteri layang suami dengan teruk. Kamu tahu kan fitrah perempuan ni lembut. Walaupun dia mempamerkan kekerasan tapi dalam hatinya tetap lembut. Kamu kena pandai ambil hatinya. Kena pandai bermain dengan situasi. Kalau dia keras, kamu kena lembut. Kalau dia kasar, kamu kena berhemah. Takkan selamanya seorang perempuan tu dapat berkeras, Syah. Kalau kena dengan cara kamu, dia pasti akan tunduk pada kamu,” jawab Mak Cik Sarimah sambil mengusap ubun-ubun Syahid.
“Entahlah, ibu. Syah dah mengalah nak pikat dia. Hati dia keras. Kepala dia keras. Susah nak lunturkan apatah lagi nak cairkan. Syah ni tak ada harga pun di mata dia,” balas Syahid.
“Kalau macam tu, kamu jadikan diri kamu berharga di matanya. Jangan jadi cikgu disiplin tapi jadi seorang suami yang penyayang, jadi seorang kawan yang rapat dan jadi seorang kekasih yang setia. Insya-Allah, dia akan nampak kamu…” jawab Mak Cik Sarimah.
Syahid menggelengkan kepalanya. Dia yakin Laila tidak akan termakan dengan semua itu kerana bagi gadis seperti Laila, harta itu lebih penting daripada segala-galanya.
“Tapi Syah dah buat semua tu, ibu. Tak berhasil jugak…” balas Syahid dengan suara yang lirih.
Hmmm…kalau macam tu, Syah lihat semula apa niat Syah kahwin dengan Laila. Syah betul-betul terima dia sebagai isteri ke atau pun bersebab…” ucap Mak Cik Sarimah.
Syahid terdiam. Memang aku mengahwini Laila kerana bersebab dan sebab itu adalah Haji Azhar. Kalau bukan Haji Azhar yang merayu, aku takkan terima perempuan sombong itu sebagai isteri tapi sekarang sudah terlambat, dia dah menjadi isteri aku. Tapi betul ke hati aku sudah dapat menerima dia sebagai isteri? Monolog Syahid sendirian.
“Dalam semua perkara yang kita lakukan, kita harus ikhlas, Syah. Barulah kita takkan menyesal satu hari nanti. Kalau Syah berkahwin dengan Laila kerana harta contohnya, bila Laila tak ada harta tentu Syah pun lari dari dia kan? Tapi kalau Syah menikahi Laila kerana Allah nescaya Syah akan kuat untuk merubah Laila menjadi lebih baik kerana Allah kekal untuk selamanya.” Nasihat Mak Cik Sarimah lagi dengan lembut.
Syahid menundukkan wajah. Jadi selama ini aku tak ikhlas mengambil Laila sebagai isteri aku. Aku lakukan semata-mata kerana simpati pada Haji Azhar. Ya Allah, kau bantulah aku untuk ikhlaskan hati aku ni. Detik hati Syahid.
“Syah masuk bilik dululah, ibu…” ucap Syahid tanpa mengulas kata-kata Mak Cik Sarimah.
“Baiklah,” balas Mak Cik Sarimah.
Dia hanya memandang Syahid yang melangkah dengan perlahan menuju ke biliknya. Dia tahu fikiran anaknya itu kusut dengan masalah Laila.
Syahid mengetap bibir memikirkan kata-kata Mak Cik Sarimah sebentar tadi. Bagaimana dia hendak ikhlaskan hati kalau perangai Laila masih tak berubah? Satu keluhan dilepaskan. Dia ingin menolak daun pintu namun tiba-tiba langkah terhenti apabila dia melihat susuk Laila yang sedang mencuba untuk memakai kain batik.
Dia tersenyum sambil mengintai isterinya itu. Kelihatan gadis itu memulas kain batik tersebut ke kanan dan ke kiri. Kadang-kadang, gadis itu mengilas kain batik itu seperti memakai kain pelekat. Hampir terhambur ketawa Syahid melihat gelagat Laila yang menggarukan kepala. Lantas, dia menolak daun pintu.

CANTIK kain batik awak pakai. Awak belajar dekat mana pakai kain batik macam tu?” soal Syahid selamba. Dia menahan tawa yang ingin pecah.
Laila menjeling. Dia menghentikan perbuatannya.
“Kau ingat aku ni jahil sangat ke bab-bab kain batik ni? Aku tahulah nak pakai macam mana…” ujar Laila tidak mahu mengaku yang dia sememangnya tidak tahu apa-apa tentang kain batik ini.
“Oh, jadi awak pandailah ya pakai kain batik? Awak rasa cara yang awak guna ni betullah ya?” soal Syahid sambil mengurut dagunya.
Of courselah. Kau bukannya tahu pun sebab kau pakai kain pelekat bukan kain batik…” balas Laila penuh yakin.
Syahid menggosok hidungnya. Sedaya upaya dia menahan daripada ketawa. Melihat wajah Laila yang penuh keyakinan membuatkan hatinya bagaikan digeletek.
“Cuba awak tengok kain pelekat yang saya pakai dan kain batik yang awak pakai, ada beza tak?” soal Syahid sambil memandang Laila dari atas hingga ke bawah.
Laila tersentak. Lalu, anak matanya memandang kain pelekat yang dipakai oleh Syahid memang sama dengan cara kain batik yang dipakainya. Bezanya, kain pelekat Syahid lebih kemas berbanding dengan kain batik yang dipakai olehnya. Alamak!
“Awak tahu tak, cara yang awak pakai tu, cara untuk pakai kain pelekat. Bukan kain batik! Dah macam tok mudim saya tengok awak pakai macam tu….” Balas Syahid. Serentak tawanya pecah berderai sambil jarinya menunjuk ke arah Laila.
Laila mengetap bibir. Spontan, darah merah menyerbu ke wajahnya. Dia malu saat ini. Perlahan-lahan, dia menanggalkan bonjolan kain batik yang dipakainya. Dia memegang hujung kain itu tanpa berbuat apa-apa. Sakit hatinya ditahan saja apabila melihat Syahid yang mengekek ketawa. Tak apa, kali ini kau gelakkan aku. Tengoklah nanti, aku kenakan kau semula. Benak hati Laila berbicara.
Tawa Syahid terhenti apabila tiada balasan daripada Laila. Dia mengesat air mata yang bersisa kerana tidak henti-henti ketawa. Dia tersenyum lalu menghampiri Laila. Dia berdiri di belakang Laila.
Mehsini saya tunjukkan cara yang sebenar pakai kain batik. Kalau awak pakai macam tadi tu, nanti terlondeh pulak. Kalau terlondeh depan saya, tak apalah juga. Boleh saya cuci mata tapi buatnya terlondeh depan Aidil. Malu awak nanti…” ucap Syahid dengan lembut.
Laila mencebik.
“Aku tak perlukan pertolongan kau…”
“Tapi kali ini awak memang perlukan pertolongan saya…” pintas Syahid.
“Angkat baju awak sikit,” pinta Syahid.
“Hah? Nak buat apa? Kau jangan nak buat benda yang tak senonoh!” marah Laila dengan pandangan yang melotot memandang Syahid yang tersenyum nipis. Dia memegang bajunya dengan kejap.
“Saya tak inginlah nak buat benda-benda tak senonoh dengan awak. Awak tu bukan tastesaya. Tak selera langsung!” balas Syahid tidak mahu mengalah.
“Kau…”
Syhhhhh…sekarang saya tak nak bergaduh. Saya nak tolong pakaikan kain batik ni untuk awak. Awak duduk diam-diam…” ujar Syahid.
Perlahan-lahan, dia menghulurkan kedua tanganya dari celah lengan Laila. Hujung kain batik yang tersarung di pinggang Laila diambil lalu dia melipat sedikit kain batik tersebut sebelum hujung kain batik itu diselitkan dicelah pinggang Laila.
Laila menahan rasa. Sungguh saat ini dia berdebar-debar apabila terasa bahang tubuh Syahid menempel di belakangnya. Tapak tangan lelaki itu yang menyentuh kulitnya perutnya membuatkan hati Laila bergetar.
Errr…dah siap ke belum?” soal Laila dengan suara yang tenggelam timbul.
“Hah, dah siap. Macam inilah pakai kain batik. Kan nampak ayu je awak ni…” balas Syahid sambil merenung isterinya daripada atas hingga bawah.
Baju kurung kedah kepunyaan Aulia yang tersarung di tubuh Laila bersama kain batik yang dipakai oleh Laila membuatkan gadis itu kelihatan manis di mata Syahid. Berdengup jantungnya apabila Laila membalas pandangannya. Dia tersenyum manis.
“Tapi saya rasa macam ada yang tak kenalah…” ujar Syahid tiba-tiba sambil mengurut dagunya.
“Hah? Apa yang tak kena?” soal Laila pelik. Dahinya berkerut.
Syahid tidak menjawab sebaliknya dia menghampiri Laila. Rambut Laila yang bersanggul, dilepaskan dengan selamba sebelum rambut itu dibelai lembut.
“Awak cantik, Laila. Awak sempurna di mata saya tapi sayangnya saya bukan lelaki sempurna di mata awak. Kalaulah saya mampu meminta, saya akan pinta untuk lahir dengan harta yang banyak supaya saya dapat memiliki cinta awak tapi sayangnya, Allah telah takdirkan saya begini tapi saya tak menyesal jadi miskin kerana saya yakin dengan kemiskinan saya ni, saya takkan sombong. Dengan kemiskinan saya ni telah menyatukan saya dengan awak walaupun hati awak masih tidak dapat menerima saya.” Ucap Syahid sambil menundukkan wajahnya.
Tersentuh hati Laila mendengar luahan hati Syahid. Wajah yang mendung itu mengusik hati Laila dengan tiba-tiba.
“Kalau awak ada pengganti lebih baik daripada saya, awak bagitahu. Mungkin saya boleh yakinkan waled supaya terima lelaki lain selain saya untuk jadikan menantu. Kalau perpisahan yang awak inginkan, apa yang perlu saya katakan lagi? Saya langsung tak bererti di mata awak. Saya langsung tak berharga di hati awak sedangkan awak…sudah lama berada di sini…” ucap Syahid.
Perlahan-lahan dia mencapai tangan Laila, lalu tapak tangan itu dilekapkan di dadanya sambil matanya merenung tepat ke anak mata Laila. Hatinya sebak apabila mengenangkan dirinya gagal untuk merubah Laila menjadi yang lebih baik seperti yang diinginkan oleh Haji Azhar.
“Hati saya berdegup tapi degupannya tak senada dengan degupan hati awak. Degupan yang awak rasakan ini adalah degupan hati yang terluka. Hanya awak yang dapat ubati luka hati saya. Tapi itu mustahil kan, Laila? Mustahil sangat…” sambung Syahid lagi.
Laila mengetap bibir. Entah mengapa hatinya tersentuh dengan setiap perkataan yang muntah daripada mulut Syahid sehingga membuatkan dia terdiam seribu bahasa. Kejam sangat ke aku ni? soal hatinya. Perlahan-lahan, Laila menarik tangannya kembali.
“Aku mengantuk, aku nak tidur…” balas Laila tanpa menjawab setiap kata-kata Syahid.
Syahid mengeluh kecil. Dia meraup wajahnya yang keletihan.
“Baiklah, awak tidurlah atas katil tu…” ucap Syahid tidak lama kemudian.
Laila memberanikan diri membalas pandangan Syahid. Wajah itu benar-benar kusut.
“Habis tu kau nak tidur dekat mana?” soal Laila.
Syahid tersenyum nipis mendengar suara Laila lembut.
“Pertama kali awak risaukan saya…” ujar Syahid.
Laila terdiam. Ya ke pertama kali aku risaukan dia?
“Awak tak payah bimbang pasal saya, ini rumah saya. Pandai-pandailah saya tidur nanti. Tidur bawah katil pun boleh jugak,” gurau Syahid dengan tawa kecil meletus di bibirnya.
Laila mencebik. Dia menjeling.
“Janganlah jelling macam tu, saya ni lelaki. Iman saya bukannya kuat mana, kan tak pasal-pasal tidur awak berteman malam ni,” balas Syahid lagi dengan tawa yang meledak.
Laila membuntangkan matanya. Spontan tangannya menampar lembut lengan Syahid.
“Kau ni memang gatal kan?”
“Dengan awak sorang je…”
“Boleh percaya ke? Entah-entah dekat restoran tu bersusun perempuan simpanan kau..” balas Laila sambil berpeluk tubuh.
Syahid mengulum senyum. Dia dapat mengesan sesuatu daripada intonasi suara Laila. Mungkinkah gadis itu cemburu?
“Haah, lupa pulak saya. Sejak saya jadi pengurus Restoran Al-Azhar tu, ramai betul yang datang nak mengurat saya. Ada sekali tu sampai sanggup tunggu saya dating kerja, barulah nak makan. Ada tu yang datang pagi, malam baru balik semata-mata nak jumpa saya. Kacak sangat ke saya ni?” gurau Syahid.
Wekkkkk!!!” Laila buat-buat ingin muntah.
“Tak payah nak perasanlah, Syah. Muka macam rumah hantu tak siap, kacak apanya?” nafi Laila.
Syahid ketawa.
“Tapi Sabrina cakap saya kacak, baik, berbudi bahasa dan kalau saya tak kahwin, dia nak memasuk meminang saya. Sabrina tu memanglah kuat betul bergurau…” bohong Syahid sambil anak matanya mengerling ke arah Laila yang sudah berubah wajah apabila dia menyebut nama Sabrina.
“Boleh jalanlah dengan Sabrina kau tu. Aku nak tidur!” tegas Laila lalu melangkah naik ke atas katil. Dia cuba untuk tidak mempedulikan kata-kata Syahid tetapi nama Sabrina yang meniti di bibir Syahid membuatkan hatinya terbakar.
“Sabrina tu cantik kan? Kalaulah saya jumpa dia dulu, tentu saya mengurat dia…”
“Apa?!” terjerit suara Laila apabila mendengar kata-kata Syahid. Dia bercekak pinggang memandang wajah Syahid yang kelihatan bersahaja.
“Saya cakap Sabrina tu cantik, sopan santun, lemah lembut, budi bahasa pun cantik. Kalau boleh saya nak ambil dia jadi isteri nombor dualah…” ucap Syahid sengaja menyakiti hati Laila.
Dada Laila berombak. Berdesing telinganya mendengar omelan Syahid tentang Sabrina. Macam bagus sangat budak tu, cantik aku lagi. Syah ni sengaja nak cari pasal dengan aku. Lalu, Laila mencapai bantal lalu dibalingkan tepat ke wajah Syahid.
“Itu balasan untuk orang gatal macam kau. Langkah mayat aku dulu kalau kau nak kahwin dua,” marah Laila lalu menyelubungkan tubuhnya di dalam selimut.
Syahid ketawa lepas. Dia mencapai bantal tersebut lalu dia mendekati Laila yang membungkus di dalam selimut.
“Awak cemburu, Laila?” soal Syahid sambil tersenyum penuh makna.
“Aku tak cemburu!” jerit Laila dari dalam selimut.
Syahid ketawa. Dia menarik selimut yang menutupi wajah Laila. Dia merenung wajah Laila yang sudah mencemik benci.
“Awak cemburu kan?”
“Tak!”
“Ya, awak cemburukan Sabrina…”
Never!” tegas Laila.
“Okey, kalau macam tu bolehlah saya kahwin dengan dia kan?”
No!!” jerit Laila pantas. Dia bingkas bangun dari pembaringan.
Syahid terdiam. Bibirnya mengukir senyuman penuh makna.
Laila menggigit bibir. Dia sudah tersasul. Melihat wajah Syahid yang tersenyum mengejek membuatkan wajah Laila terasa berbahang. Kenapalah hari ni aku asyik terkena saja dengan mamat ni?
“Awak….”
Belum sempat Syahid berkata apa-apa, dengan pantas Laila kembali menyelubungkan dirinya di dalam selimut. Dia tidak sanggup untuk berhadapan dengan Syahid ketika ini. Tentu lelaki itu menganggap dia cemburu pada Sabrina sedangkan dia tidak bermaksud seperti itu. Ya ke aku tak cemburu?
“Saya tahu awak malu nak mengaku. Tak mengapa saya takkan paksa awak mengaku. Saya faham, perempuan kalau setuju mesti diam. Jadi awak diam ni maknanya awak betul-betul cemburu…” balas Syahid tidak mahu mengalah.
Stop it!” jerit Laila di bawah selimut.
“Okey, saya stop. Good night, baby…” ucap Syahid dengan tawanya.
Laila mendengus dari dalam selimut. Selepas dia merasakan Syahid sudah berlalu, perlahan-lahan dia membuka selimut. Kelihatan kelibat Syahid menghilang dari sebalik pintu. Laila menarik nafas lega. Namun, tidak lama kemudian bibirnya pula yang mengukir senyuman. Dia kembali merebahkan kepalanya di bantal.
“Selamat malam, mamat sengal…” desis Laila sebelum terlena dengan senyuman yang masih terlakar di bibirnya.