Jumat, 21 Juni 2013

Cinta Karma ( Teaser II )

“ Mak Yam tolong jangan sebut nama dia lagi. Fiya dah tak nak dengar apa- apa yang berkaitan dengan dia. Fiya dah tak ada suami!” tegas Wafiya.
Mak Yam terkesima sebentar. Dia memandang wajah Wafiya. Mata bundar itu memancar sinar kebencian yang tidak dapat diungkapkan dengan kata- kata namun wajah itu basah dengan air mata. Mak Yam tahu gadis itu terseksa.
“ Mak Yam tahu cinta kamu pasti terhalang kerana pangkat dan keturunan. Mak Yam pernah melalui semua itu. Tapi Fiya kena ingat, cinta itu tidak pernah mengenal pangkat atau keturunan. Cinta itu buta untuk membezakan taraf seseorang. Fiya kena kuat. Kembalikan semangat Fiya yang dulu,” nasihat Mak Yam.
Mak Yam menghampiri Wafiya. Tangan gadis itu disampai kemudian digenggam kemas seolah- olah menyalurkan secebis semangat pada anak gadis itu yang kelihatan lemah. Air mata Wafiya diseka dengan hujung jari. Dia sudah menganggap Wafiya seperti anaknya sendiri malah umur gadis itu sebaya dengan Haq. Itu yang membuatkan Mak Yam melayan Wafiya seperti anaknya sendiri.
“ Tapi cinta tu kejam Mak Yam. Cinta itu menyakitkan. Kalau Fiya tahu dia cuma berpura- pura mencintai Fiya, membiarkan Fiya larut dengan sikap ambil beratnya, Fiya takkan sesekali jatuh cinta pada dia. Tapi Fiya dah terlanjur sayang pada dia…” rintih Wafiya meluahkan rasa hatinya yang sebenar. Dia teresak- esak. Dia memeluk lutut.
“ Mak Yam yakin, suami Fiya mempunyai rasa yang sama dengan Fiya cuma pasti ada sesuatu yang menghalang cinta kamu berdua bersatu. Mak Yam yakin suatu hari nanti pasti dia akan datang cari kamu…”
“ Fiya dah tak perlukan dia, Mak Yam. Fiya nak hapuskan segala perasaan yang Fiya simpan pada dia. Buat apa Fiya terhegeh- hegeh pada orang yang tak pernah terima Fiya. Dia berjaya mencuri hati Fiya tapi dia juga yang berjaya menghancurkan perasaan Fiya sedangkan selama ini hati Fiya tak pernah terisi dengan sesiapa pun. Tetapi dia dah merobek hati Fiya. Fiya tak dapat terima Mak Yam. Fiya tak kuat untuk maafkan dia…” luah Wafiya lagi.
........................................................................................................................................


“ Demi Mu yang Allah, hati aku terasa sakit sejak ketiadaan dia. Masih adakah peluang untuk aku bertemu dengan dia? Tolong jagakan dia untuk aku ya Allah kerana dia yang mampu menakluk hati aku,” bisik Syed Aryan. Dia menahan rasa sebak yang mula menghurung dada.
Syed Aryan meraup wajah. Tiba- tiba dia teringatkan sesuatu. Dia menunduk dan memandang ke bawah katil. Sehelai sapu tangan kecil di keluarkan daripada bawah katil. Lama Syed Aryan merenung sapu tangan tersebut sebelum dicium penuh perasaan.
Segala kenangan bersama dengan Wafiya seolah- olah bermain di kotak fikirannya sehingga menjelma di ruang mata. Abang rindukan Fiya. Terlampau rindukan Fiya…rintih hati Syed Aryan. Tanpa disedari setitis air mata menitis dari mata Syed Aryan yang jernih.
Syed Aryan bangkit, dia menuju ke penyidai lalu dia mencapai sejadah putih pemberian Wafiya suatu ketika dahulu dan di bawa bersama ke katil. Syed Aryan merebahkan badannya sambil memeluk sejadah tersebut seolah- olah dengan cara itu dia dapat mengubati rindunya pada Wafiya.
Syed Aryan memejamkan mata mencuba untuk melelapkan mata. Namun, air mata terus- terusan mengalir seakan menceritakan tentang batinnya yang cukup terseksa dengan perpisahan ini. Tiada siapa yang mengetahui isi hatinya, tiada siapa yang mengambil peduli terhadap perasaannya hanya malam- malam yang sepi menemani Syed Aryan setiap hari. Benarlah bagai di kata, soal hati hanya hati dan Allah sahaja yang mengetahui betapa sakitnya apabila mencintai seseorang yang tiada di hadapan mata.