Kamis, 15 November 2012

Digari Cinta (Bab 2)


ENCIK ZAMRY dan Puan Aliana berpandangan. Mereka sedikit terkejut dengan hajat yang disampaikan oleh kawan lama mereka. Mereka terdiam sebentar namun pandangan masih lagi tertacap pada laman wajah Haji Yusuf dan Hajah Khadijah.

“ Biar betul apa yang abang cakapkan ni? Takkanlah anak kami jadi pilihan abang dan kakak?” Akhirnya Encik Zamry bersuara.

Haji Yusuf tersenyum. Dia memandang wajah isterinya sebelum kembali memandang wajah kawan baiknya semula.

“ Kami dah fikir masak- masak Zam. Anak kami tu dah patut sangat mendirikan rumahtangga. Tapi dia sahaja yang tak nak kahwin lagi. Kalau kami tak carikan entah bila kami boleh tengok dia bernikah dan menimang cahaya mata. Kami ni bukan apa, kami kenal Arisya tu dari kecil jadi tak salah pun kalau kami nak jadikan dia menantu kami,” ujar Haji Yusuf cuba menyakinkan Encik Zamry dan Puan Aliana.

“ Tapi anak kami tu bukan perempuan yang solehah malah sikapnya juga kasar. Dia tu panas baran sikit. Kami takut anak abang tak suka pada Aris,” sampuk Puan Aliana.

Hajah Khadijah tersenyum dan bangun mendapatkan Puan Aliana. Tangan Puan Aliana digenggam kemas dengan senyuman yang melebar.

“ Walaupun kami tak kenal rapat dengan Arisya tapi cukuplah kami kenal dengan orang tuanya kerana macam mana orang tuanya begitulah juga anaknya. Bukankah anak itu acuan daripada ibu bapanya? Sikap panas baran itu boleh dikikis. Mungkin jika mereka disatukan mereka boleh melengkapi antara satu sama lain,” pujuk Hajah Khadijah.

Puan Aliana dan Encik Zamry serba salah. Keluarga Haji Yusuf merupakan keluarga yang baik- baik malah Encik Zamry kenal dengan anak Haji Yusuf. Anak muda itu sebaik ayah dan ibunya tetapi sanggupkah anak muda itu mengahwini anak gadisnya yang mempunyai banyak kekurangan itu?

“ Kami pun berharap dapat berbesan dengan keluarga abang. Yelah sejak dari kampung kita berkawan sampailah tinggal di bandar ni. Rasanya ikatan persahabatan perlu dipanjangkan lagi. Tetapi kami perlu dapatkan persetujuan daripada Arisya dulu. Mana tahu kalau- kalau dia dah ada pilihan hati tapi setahu saya, dia tak ada kekasih lagi,” balas Encik Zamry membuahkan senyuman di bibir Haji Yusuf dan Hajah Khadijah.

“ Itu yang kami nak dengar. Kami berharaplah Zam dan Alia dapat pujuk Arisya supaya terima lamaran kami ni. Ini sahaja cara untuk melihat anak kami tu kahwin dan kami rasa pilihan kami ni tak salah. Zam dan Alia boleh beri jawapan bila- bila masa lagipun rumah kita ni bukannya jauh sangat pun kan?” Ujar Hajah Khadijah.

Puan Aliana tergelak kecil. Memang rumah mereka tak jauh pun. Selang beberapa rumah saja.

“ Baiklah nanti saya akan pujuk Arisya. Lagipun dia sekarang ni menganggur. Daripada dia duduk tak buat kerja lebih baik dia kahwin. Kan abang?” ucap Puan Aliana sambil menepuk lembut lengan suaminya.

Encik Zamry hanya mengangguk. Benar juga apa yang isterinya cakap, Arisya tu dahlah anak sulung, buatnya tak ada orang nak meminang, jadi anak dara tua pulak anak kesayangannya itu. Jadi dia harus bertindak cepat.

Namun, perbualan mereka diganggu dengan suara orang memberi salam. Kelihatan Arisya terjengul di muka pintu. Wajah kepenatan anaknya itu dipandang lama. Hajah Khadijah dan Haji Yusuf turut memandang bakal menantunya dengan senyuman manis.

Arisya melemparkan senyuman pada Hajah Khadijah dan Haji Yusuf. Dia mengorak langkah menghampiri tetamu dan menyalami Hajah Khadijah dengan penuh santun. Pada Haji Yusuf hanya dilemparkan senyuman manis.

“ Aris dari mana ni?” soal Hajah Khadijah basa basi.

“ Aris dari ECM. Jalan- jalan je mak cik. Nak shoping tak ada duit lagi. Abah tak bagi gaji,” ujar Arisya selamba. Sempat lagi dia mengenakan abahnya yang sudah menggelengkan kepala.

“ Aris kerja kat mana sekarang ni? ibu Aris cakap Aris menganggur.” Tambah Haji Yusuf cuba mengenali bakal menantunya itu.

“ Aris kerja kat restoren abahlah sementara dapat kerja tetap. Kelulusan tahap diploma dengan result yang cukup- cukup makan tak tahulah ada orang nak tawarkan kerja ataupun tidak pak cik,” balas Arisya ramah.

“ Eh, jangan cakap macam itu. Kerja kat restoren abah Aris kan lebih baik. Aris dapat kembangkan perniagaan abah Aris. Lagipun abah Aris tu perlukan tenaga muda untuk bangunkan restoren tu kalau bukan Aris siapa lagi kan?” ujar Haji Yusuf memberikan kata- kata semangat.

Arisya terdiam sebentar. Betul juga kata pak cik ni. Aku boleh uruskan restoren tu kalau dah tak ada orang nak ambil aku kerja sangat. Taklah aku menjadi penganggur terhormat sangat kan? Thank you pak cik sebab bagi idea yang bernas.

“ Hmmm…Aris setuju cakap pak cik tu. Nantilah Aris bincang dengan abah. Kan abah?” tanya Arisya sambil mengangkat kening pada Encik Zamry.

“ Boleh aje untuk anak abah yang sorang ni. Nanti kita bincang. Aris pergi masuk dalam jangan nak menyampuk orang tua nak bercakap ni…”

“ Alah abah ni, Aris nak juga bersembang dengan kawan- kawan abah. Bosan duduk terperap dalam bilik…”

“ Aris….” Tegur Puan Aliana membuatkan Arisya zip mulutnya. Kalau ibu sudah bersuara lebih baik diam kan tak pasal- pasal kena bebel. Tak nak aku dengar bebelan umi yang kalahkan radio rosak.

“ Yelah- yelah. Pak cik, mak cik Aris naik dulu ye nanti ada deejay radio berbunyi kan…” ujar Arisya selamba sambil melirik ke arah ibunya yang sudah menjengilkan mata.

Dahi Hajah Khadijah dan Haji Yusuf berkerut.

“ Deejay radio?” tanya mereka hampir serentak.

“ Yup, kalau pak cik dengan mak cik nak tahu ibu Aris ni ada bakat jadi deejay radio tau. Kalau membebel memang kalah deejay yang dah pencen…” ucap Arisya petah mengenakan ibunya sendiri.

Serentak Haji Yusuf dan Hajah Khadijah ketawa sedangkan wajah Puan Aliana sudah memerah. Geram dengan sikap Arisya yang suka mengusik.

“ Ya ALLAH budak bertuah ni pergi masuk bilik ibu kata!”

“ Yelah- yelah. Baik mem!” ucap Arisya sambil meletakkan tangannya di dahi seolah- olah menabik pada Puan Aliana. Dia tergelak dan berlalu selepas bersalaman dengan Hajah Khadijah.

“ Nakal betul Aris tu kan?” ucap Hajah Khadijah selepas tawanya reda melihat telatah Arisya sebentar tadi.

“ Itulah perangai dia kak. Tak kira dengan siapa, dekat mana memang dia suka bercakap banyak kadang- kadang naik pening jugaklah nak layan cakap dia tu. Ada saja yang dia nak cerita. Itu belum masuk adik- adik dia yang lain lagi. Adik- adik dia tu selalu juga kena usik dengan Aris tu maklumlah kak umurnya baru 22 tahu tak berapa nak matang lagi. Harap- harap lepas kahwin dia boleh berubahlah nanti,” ujar Puan Aliana penuh pengharapan.

“ InsyaALLAH Alia. Tapi akak berkenan dengan sikap berterus terang Aris tu. Telatah dia yang banyak cakap tulah yang dapat menghiburkan kita betul tak bang?” soal Hajah Khadijah sambil menyiku lengan Haji Yusuf.

“ Betul- betul. Apa- apa pun abang memang nak majlis pernikahan mereka dapat di adakan secepat mungkin,”

 

“ APA? Mereka datang tadi nak merisik Aris?” jerit Arisya. Puan Aliana yang duduk di sebelah Arisya menutup telinga. Tak senonoh betul anak dara aku ni sorang.

“ Yelah kawan- kawan abah dan ibu datang nak merisik kamu untuk anak lelakinya. Mereka dah berkenan untuk jadikan kamu tu menantu mereka. Kamu setuju tak?” soal Encik Zamry sambil matanya masih menatap dada akhbar.

Fauzan dan Faizal ketawa perlahan mendengar berita yang disampaikan oleh abah mereka. Ada juga rupanya orang yang mahukan kak longnya yang garang macam singa tu. Siapalah yang malang sangat tu.

“ Nak setuju macam mana, Aris tak kenal dia pun…” balas Arisya.

Hai, mamat manalah yang gatal nak kahwin dengan aku ni? Tapi tengok pak cik dan mak cik yang datang tadi tu macam baik- baik je mesti anaknya juga baik. Tapi takkan aku nak kahwin, umur aku baru 22 tahun. Muda lagi tu.

“ Pasal tu Aris tak payah risau. Lepas Aris bertunang nanti, Aris bolehlah berjumpa dengan dia. Ibu dan ayah pernah tengok anak Pak Cik Yusuf tu. Memang kacak orangnya. Kerja pun bagus. Lagipun ibu dan ayah tak nak hampakan harapan Pak Cik Yusuf dan Mak Cik Khadijah yang berharap pada kamu,” pujuk Puan Aliana.

“ Tapi Aris tak bersedia lagi nak pikul tanggungjawab sebagai isteri orang. Aris baru je habis belajar. Kerja pun tak dapat lagi…” bantah Arisya seakan menolak. Dia memintal- mintal rambutnya yang panjang. Hatinya gundah gulana saat ini.

“ Kamu boleh belajar lepas kahwin nanti. Pasal kerja tu Aris jangan risau, kalau Aris terima lamaran Pak Cik Yusuf tadi, abah akan bagi Aris uruskan restoren. Aris gantikan tempat abah sebagai pengurus dan abah akan bagi apa saja yang Aris mintak. Aris nak laptop kan? Nanti abah belikan tapi dengan syarat Aris kena kahwin dengan anak Pak Cik Yusuf,” ujar Encik Zamry tiba- tiba.

Arisya melongo. Wow, tawaran yang bagus tu! bukan saja aku dapat jadi pengurus tapi aku dapat laptop idaman aku sebijik. Tapi aku kena kahwin dengan mamat yang aku tak kenal. Macam mana erk? Arisya menggigit kuku. Otaknya ligat berputar.

“ Nantilah Aris fikirkan dulu tapi kalau Aris terima lamaran tu, abah kena tunaikan janji abah tu tau.”

“ Ye sayang. Abah akan tunaikan janji abah tu,”